Pages

Monday, August 1, 2011

Lukisan Hati

Petanda yang membawa ion-ion negatif silih berganti terlayar di kornea mata. Namun kedegilan mengeras tidak mahu mencair. Harus bagaimana hati mahu memujuk?

Apa pun terjadi, ia harus dipujuk-pujuk supaya langkah tidak pincang. Tarikan asmara seolah-olah mampu menjerat leher sendiri. Urat sendi sudah longgar merelakan cangkuk pada hidung diseret gemalai.

Untung juga ada jemari masih mahu bertanggungjawab menggapai roh yang bergerak menuju sang penggoda.

Sekilas jiwa cuba memasung langkah lalu mendengarlah telinga akan bisikan rayu penjaga. Kaki sudah kemas dipasung. Sang penggoda kupandang dari kejauhan.

Oh Tuhan, aku hanya mahu melihat kebenaran dan kesahihan antara mimpi, maya dan nyata. Bukan berniat mahu menyayat hati sendiri. Bukan mahu cuba merobek jantung sendiri. Aku hanya mahu mendekat, mahu melihat, mahu menilik rapat-rapat.

Lagi sang penggoda kupandang sayup. Kaki sudah dipaku. Suatu saat aku akan kembali mengejar. Setelah aku yakin, kau lukisan hatiku.

Readers