Pages

Wednesday, October 9, 2013

Gambar Dongeng: Part 2

Kegilaan apakah ini?
Kecemburuan atau kecintaan?

Kau kurung aku bersama rasa yang tidak-tidak
Beri ruang melihat segala kebenaran jauh sekali
Maka menelan fitnah jadi pilihan dan itu adalah perkara terpaling perit

Suatu saat dan ketika
Segala rasa yang kau mahu kau saja jadi pemilik
Memamah rakus diri sendiri
Seolah tiada pernah wujud belas ihsan

Picture: Google

Aku tiada kan pernah mahu berdoa untuk kecelakaan perjalanan hidupmu
Aku hanya mahu suatu detik bakal menjengah
Kau mau mengakui
Segala yang tersurat itu milik yang Abadi



Wednesday, September 4, 2013

Gambar Dongeng: Part I


SEGALA isi indah hanya kertas bercontengan
tenggelam dimamah arus deras
lalu hancur berkecai dikandung cairan sungai.

Bila segala yang ku simpan kau singkap hingga tiada hijab rahsia lagi
dan bila segala yang kau cerita adalah bohong dongengan semata.

Itulah persembahan terpaling penuh kehinaan.
Inilah harga saban masa yang tersia cuma.

Thursday, January 3, 2013

Barangti Menyentuh Atma



Benam jejak sedalam apa pun ia tetap juga mahu timbul
Dinda, kanda paku berlumut
Kanda, dinda biar memberat mengusung debu. 

Kita bukan sekadar kita
Kita adalah jari, patah satu pincang seluruh lenggok langkah.

Kita bukan sekadar kita
Kita adalah bilah, retak satu angin berpuing putar tiada senada.

Kita bukan sekadar kita
Lari sembunyi kemana pun takkan memungkinkan kita terbelah dua. 

Dinda mula mahu percaya kisah kita
takkan mungkin hanya bertitik noktah disini.
Masih sering kasmaran kama kunjung datang
Masih sering dinda undang kanda datang

Kita saling berhubungan di benting asmaraloka.
Anehnya, hanya kita yang mengerti.



Thursday, July 26, 2012

Hijab Mimpi Part IV: Pertemuan Dua Sayap


KEBIASAAN. Terawangan sendiri saban sepertiga malam antara rela dengan tidak. Sepertinya sudah terbiasa tercampak dalam dunia suram tiada berlangit, tiada berdinding, yang tinggal cuma alas dimana kaki tega bertapak. Terkadang pengembaraan ditemani merdu gemercingan kumbang. Terkadang sepi dibontoti hembus malam.

Sepertinya hamba bermimpi dalam mimpi ciptaan sendiri. Hamba menyorot pandang dari celahan dedaun yang menguning. Badannya berbulu halus separuh anggota, mengundang nakal tujahan asmara. Hamba lagi leka dan sengaja berlama-lamaan disitu.

Malang benar, asyik menyinggah hanya sementara. Bauan wangi cempaka terlepas menerjah tanpa izin empunya. Harumannya menarik perhatian deria pria bersayap putih, lalu bertempiaranlah hamba melayang diri. Bauan cempaka di jejaki sang pria. Hamba kepenatan berlari, hamba kelelahan meyorok diri.

Debar didada masih deras berdetak, namun keinginan mendekat masih kuat tersimpul. Sosok pria terlalu indah untuk hamba biar ia lepas dari ingauan.



Sunday, July 15, 2012

Rungkai Sumpah Dari Prasasti


Masih dinda ingat janji dan sumpah pada hati. Dinda kan genggam kuat apabila ia mula berdenyut deras melewati lakar wajah kanda.

Dinda masih berbuat demikian. Qiamkan hati, gengam seeratnya supaya tidak lagi jatuh dan bersepai.

Namun bila diubat sempurna, ia masih mahu merangkak melewati bau-bauan cinta kanda. Apa harus dinda perbuat? Ia meronta, terlucut, lalu parah lagi.

Sedang kita, tiada jua bertemu penyudah ceritera.



Tuesday, July 10, 2012

Hijab Mimpi part III: hutan simpan rahsia kita



Kita masih sering ke situ,
bertenggek di batu peraduan beralaskan lumut hijau bercampur bau basah.
Kita masih suka ke situ,
berkomunikasi dari jiwa ke jiwa. Hanya pancaindera berbicara.
Kita masih mahu ke situ,
duduk menyenangi kurniaan Dia Pencipta. Kau menghitung aku memintal.
Kita masih terperangkap di situ,
mundar-mandir mencari gerbang nyata tiada bersuluhkan cahaya.
Seharusnya kita bersama,
Bertaut jemari saling melengkapi meredah seperjalanan lagi.



Sunday, July 8, 2012

Nafas Peraduan


TIRAI tersingkap, rembulan mengintai
Bundar menusuk, kalbu menyahut
Tongkat dipasung, hela dinoda
Rentak ditari, desah diatur.

Harum cempaka mendatang lagi
Menusuk deria peluh pun merintik
Gigil tiada bersebab, gelisah tiada penyudah.

Diulang perkongsian lalu senyuman jadi pertaruhan
Pada akhirnya bintang muncul temani bulan.

Monday, June 18, 2012

Mantan Dewi Melarat

Sang Mantan menderam-deram memaki. Rabak segala isi perut khinzir. Amarah sudah melewati batas simpati. Lalu usus busuk khinzir dihumban penuh kejelikan. Maka bermandilah hamba penuh kehinaan. Hamba kira sudah hampir lumpuh. Tiada apa mampu dihunus lagi. Menderu merayu jua tiada berhasil.

Silap hamba meluah perih di hati. Harus sahaja tohmah ditelan sendiri-sendiri. Bernanah halkum juga tidak mengapa.

Silap hamba melontar keras kesumat terbuku di hati. Harus sahaja longlai menadah fitnah yang tiada hamba perbuat.

Silap hamba mengadu domba perihal si ibu.

Bukan sekadar karmina dua kerat datang menusuk. Hamba tiada daya menongkat lutut melawan marak api membahang.

Lalu tanah lumpur menjadi hampar duduk. Hamba seolah menanti segerombolan musibah datang merenggut jantung dan limpa. Diseret-seret sampai ke gigi lembah, ditujah terhumban ke dalam gaung berpuaka.

Sementelah pula, tiada hamba menjadi kebencian. Tiadalah apa yang tinggal mencuci dendam kesumat Sang Mantan. Semoga menyeringai puas setelah hamba ditiadakan.

Dan bila tiba hari kebangkitan, Si Dewi bakal muncul berbekalkan seketul hati hitam keras membeku. Warna merah tiada akan memercik walau diracik-racik.

Saat peluh menitik usai menyerap bumi, maka akan bermulalah satu tragedi meranapkan seluruh hidup mantan Si Dewi yang pernah menjadi kesayangan.


Riwayat Yang Menghikayat Cinta


AKHIRNYA, lahirlah mitos dari mimpi. Yang jatuh ke dalam dunia ini. Dan mengamuk segala kenangan di hati.

Kau dari jauh hanya melihat. Pada semua perkara yang memesongkan hakikat. Menganggap tiada apa-apa jua melainkan satu cerita hantu dahsyat.

Garam berlumuran darah di bilik mandi. Rebahnya di semalam hari. Di satu laluan patah tiada ruang melindung diri.

Sudahnya, dia bersisa sedikit daging dan tulang. Tetapi tiada berasa sia-sia dalam bercerita panjang. Masih diberitahu sehingga kini malam dan siang.

Dengan mimpi lama tiada terlupakan disimpan rapat. Dia belayar ke laut yang lebih tumpat. Dan kadang-kadang kau boleh mendengar deru pelayarannya berdesir hebat.

Lalu ceritakanlah kepada mereka akan cerita-cerita hantunya yang sudah lama mati. Setiap malam dan pagi. Setiap minggu dan hari.

Dengan susunan naratif kenangan. Dengan lemasnya segala impian. Dengan cerita-cerita hantu yang tiada berkesudahan.

* Sekali pandang mana tahu di sana ada bencana, banyak lagi kisahnya.

Friday, April 13, 2012

Hijab Mimpi part II : yang tiada itu ada


Aku janji, tapak kaki ini tidak akan berpijak pada simen itu lagi.
Sebelahnya sudah tempang,
tidak mungkin dipertaruh sembah lagi.
Apa nanti bakal tinggal untuk aku berhiba-hiba?

Raung sendiri-sendiri,
tidaklah begitu cukup untuk meningkah mara belati dari segenap pusar.
Keras dihentak,
mana mungkin retak berderai.

Alah menunjal sekadar bertumit,
bisanya mencucuk sampai kehujung limpa.

Bahasa kita beda,
Kau tak pernah mengerti.



Readers