Pages

Friday, April 13, 2012

Mana titik akhir kisah kita?

Kisah kita belum sampai ke hujung noktah
Usai belum habis
Paksi itu masih ada putarannya

Kisah kita masih terbelit
Mara selangkah, memori membusuk
Mundur selangkah, bintang hancur berdebu

Kisah kita belum cair bekunya
Hembus dingin tak menggigil
Hambur meruap tak melecur

Kisah kita ada di hati kita
Kau berbicara, aku berbicara
Tergantung tanpa bicara

Thursday, November 3, 2011

Hijab Mimpi part I : Utusan Dewi



Malam bulan mengambang separa penuh
kala semua lena melayar igau.
Lelap tiada gundah
Lena tiada usik
Tertiarap sendiri dihenyek beban nan memberat
Kejung jasad melorong mimpi...

Terseret diseru ke alam tiada bertembok,
tiada terzahir,
tiada terungkap.
Alam tiada batas ruang
Mampu hanya dipertemu dalam bentuk bukan berjasad.

Kelihatan si dia terlentang tenang
Seiring wajah yang menjernih
Dihembus Dewi dingin nafas cinta
Berwangikan sayang si cempaka putih.

Lantas utusan masih dikirim
Walau keberadaan disini tiada tembok sempadannya.
Renungan dilempar dari seberang danau
Menanti lirikan mata bundar milik tuan hamba nan indah.

Hampa
Riak amarah pengutus bawa pengertian besar
Lunak esakan mula menderu
Bergema nyaring tak mampu tembusi alam tiada zahir
Dewi terpunduk ditemani pengutus
Berduka lara melayan rajuk yang sudah sering bersebati dengan emosinya
Sungguhlah menusuk rawan

Masih ingin menanti berlama-lama
Kelak khuatir jemputan kesini diulang perhitungan di alam nyata

Ruang mimpi separa sedar ini masih belum boleh disingkap!



Tuesday, November 1, 2011

Berfirasat Senandung Hari Terakhirmu

Duhai pencipta segenap galaksi,
bermukim lagi aku disini cuba memesong nasib dan takdir seorang hambaMu.
Kasihani dia,
lelah langkah tak pernah berpaling.
Lemparkan sedikit nur dihatinya,
simpati dia,
biar gelap bukan peneman picang jalan hidupnya.

Tuesday, September 20, 2011

Bila ada ditiadakan.


Bila nyata tak tergapai.
Bila hidup diboneka.
Bila cinta tak pernah mahu menyebelah.
Bila kewujudan tiada lagi kepentingan.

Biasa yang ada sudah ditiadakan.
Biasa yang lawan sudah ditikam lumat.
Biasa yang tegar sudah patah taringnya.
Biasa yang bongkak sudah layu rajuknya.

Semoga banyak hati merasa puas.
Hati tersayat tak terubat.
Semoga ada hati merasa luas.
Hati terjeruk mohon mengundur.

Tuesday, September 13, 2011

Warkah Cinta Dinda Part V: Finale

Pengkisahan dedebu hati si pena melarat sudah bertaburan sebarnya. Hatinya runtun menderu. Seperti nyawa terlekat di kerongkong, pekik maki turus membunuh segenap ruang peti bunyi. Hingar tapi kosong. Halwa manis tiada lagi kedengaran. Hukum sudah terlayar tepat di depan anak mata.

"Pendusta seperti kamu tiada layak menanti tamu indah pembawa bahagia!"

Gema suara bersambungan mencucuk setiap ruang rongga urat leher. Mahu gapai mencarik otak barangkali. Lalu bukan setapak lagi hamba mengundur, malah mahu berderap-derap lari sembunyi.

Bayang ditiadakan, namun hamba masih menyorot pandang dari celahan kesibukan ramai. Doa masih gigil ditadah supaya dipayung terus kanda dari hujan bencana.

Demi DIA pemilik semesta alam, bukan niat mahu meraih riak kanda dalam dakapan, hanya mengagumi tanpa dikasihi. Bukan jua niat mahu menjadi pendusta penuh kehinaan, hanya melatih diri supaya tidak terlalu biasa membuka kunci pekung di khalayak. Ahhh, walau diulang beribu alasan juga belum memungkinkan lagi temu pengertian.

Aib begitu sinis mahu menayang diri. Wajah hamba ini sudah banyak dilumur najis, tiada layak menandingi wangi makhluk acuan kitab suci.

Biar sepuluh keris sedang menanti mahu hunus menusuk dada, hamba masih tegar mengatur sepuluh jemari, ampun dan maaf dipohon ikhlas. Doa dibisik pada setiap sujud, moga hati mereka melebur lembut.

Hamba berkira-kira sudah mahu membawa pulang rajuk ini sejauh mungkin. Jagailah kanda hamba sebaik mampu. Jaga jua hati-hati sinis mereka. Bahagiakanlah titian hari mereka-mereka sehingga tak punya peluang merasa terbuang.

Hamba..., tiada temu kehendak juga tak mengapa.


Kesinambungan ceritera:



Friday, September 9, 2011

Warkah Cinta Dinda Part IV: Garis Penamat

Umpama api membaham lilin lagaknya. Bahang panas mencair diri menitik-nitik. Hanya menanti saat dan ketika untuk padam lalu berbekas ia disitu. Disental tidak, menyinar juga tidak.

Tiada berbekaskah dihati kanda segaris perit?

Duhai kanda penawar rasa, gugur pasir pengukur masa sudah kurang suku sisanya. Berbekas atau tidak, tiada membawa untung lagi. Dia sudah bertitah. Hadir saat itu tiada menunggu walau sesaat.

Kesinilah wahai kanda, kita bertenggek bersama. Lapan sepuluh minit cuma tidak mengapa. Dinda hanya mahu menyembah usungan yang sudah penuh memberat. Sudah tidak tertanggung bahu menadah cinta yang ulang berulang gugurnya. Menunggu huluran simpati tiada kunjung tiba, apa lagi dakap kasih. Maka itu, usungan beban ini dinda seret, dinda pikul, sehingga tiba ke penamat.

Masih tiada berbekaskah dihati kanda setitik ngilu?

Jika diulang perkiraan juga tidak mampu mengundur masa.Mohon pada-Nya di setiap sujud jua tiada membawa hasil. Bisu itu kanda bawa sampai ke hujung.

Dinda sembah hormat pada tegar itu. Tekad kanda seperti tiada pernah mahu meluntur. Sebelum sujud harap semakin banyak berhamburan sepahnya, dinda mahu kanda mengerti perihal dinda. Segalanya. Sudi...?


Wednesday, August 10, 2011

Warkah Cinta Dinda Part III

Lebur jiwa digarap pena hati. Hamba bermunajat saban sepertiga malam jaganya. Harus empunya alam kasihan lalu melantun lontarlah pujukan dalam dingin pagi.

Duhai empunya alam, hamba terima takdir terlakar. Arakian ada jua beberapa syarat mahu di lontar. Demi menjaga hati tertumpahkan garam.

Merintih jiwa saban bulan melihat Lonchura lewat disambar Hering. Seharusnya dititip Cenderawasih kalau bukan hamba, si gagak jadian Kau lepas terbang bersama. Alangkah pedih belikat seakan dicakar-cakar. Gamaknya sesakit Lonchura digaru Hering. Lebih perit dari terkoyakkan sayap kiri.

Duhai empunya alam, hambaMu meminta dua persyaratan hampar di muka baru. Tukarkan Hering menjadi Cenderawasih lalu kirimkan mereka ke kayangan tujuh,

atau

lucut Lonchura dari cengkam Hering. Jatuhkan ia dalam pelukan hamba. Biar terbela ia, biar mampu terbang bebas ia, walau tidak sejangka Cenderawasih.

Tuesday, August 9, 2011

pendam maya

Terpuruk aku bergelap tiada kau mahu menjenguk. Amarahku kau sandar buat pengalas rajuk. Memberkas seketul hati lalu rasa dijeruk-jeruk. Perih kerongkong memanggil tiada bersahut.

Lelah diukur seiring manik jernih yang mula berlabuh. Dagu diangkat kening bertaut. Anak mata terus-terusan mengintai celahan awan, kalau-kalau ada Cenderawasih berlalu.

Tiada masih si pembawa diri mahu memijak anguh. Lalu gelodak jiwa menderu bertanya. Tidak mahukah dewi mengepak sayap mencari jejak?

Sentap sedetik dek leka dibuai tuju soal sendiri. Aku tersungkur longlai di tanah lembab. Menggenggam dada menyeka sayap. Gelengan demi gelengan berulang tanda tidak mampu mungkir pada janji.

Turunlah wahai tuan hamba sebelum hijab sayap tertebar lagi, sebelum bau amarah bersebah, sebelum salah satu dari kita disambar keji. Ku seru lagi Cenderawasih berlabuh memijak bumi.


Inspired by:

Monday, August 1, 2011

Lukisan Hati

Petanda yang membawa ion-ion negatif silih berganti terlayar di kornea mata. Namun kedegilan mengeras tidak mahu mencair. Harus bagaimana hati mahu memujuk?

Apa pun terjadi, ia harus dipujuk-pujuk supaya langkah tidak pincang. Tarikan asmara seolah-olah mampu menjerat leher sendiri. Urat sendi sudah longgar merelakan cangkuk pada hidung diseret gemalai.

Untung juga ada jemari masih mahu bertanggungjawab menggapai roh yang bergerak menuju sang penggoda.

Sekilas jiwa cuba memasung langkah lalu mendengarlah telinga akan bisikan rayu penjaga. Kaki sudah kemas dipasung. Sang penggoda kupandang dari kejauhan.

Oh Tuhan, aku hanya mahu melihat kebenaran dan kesahihan antara mimpi, maya dan nyata. Bukan berniat mahu menyayat hati sendiri. Bukan mahu cuba merobek jantung sendiri. Aku hanya mahu mendekat, mahu melihat, mahu menilik rapat-rapat.

Lagi sang penggoda kupandang sayup. Kaki sudah dipaku. Suatu saat aku akan kembali mengejar. Setelah aku yakin, kau lukisan hatiku.

Monday, June 20, 2011

Warkah Cinta Dinda Part II

Kanda cuba datang menembus hati namun mana mungkin takdir yang belum mahu terbuka di paksa-paksa, ditunjal-tunjal supaya terbuka. Andai terbuka, tiada selamat dipeluk walau sezarah airmata. Punah di akhir cerita. Tiada noktah setitik berlabuh.

Sabar dinda bukan kerana sifat asli. Sabar dinda kerana terlalu mengingin hati di tuntun penuh kecintaan. Nilai dinda seadilnya sebelum berpaling buat selamanya...

Readers